JANUARI 2023

Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dilantik Sebagai Anggota Lembaga Pengarah LHDN


KUCHING: Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dilantik sebagai wakil kerajaan Sarawak dalam keanggotaan Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Dato Sri Dr. Wan Lizozman dalam anggota Lembaga Pengarah LHDN adalah berkuatkuasa hari ini.

“Perkara ini diminta agak lama, jadi dalam mesyuarat bersama dengan jawatankuasa hari ini, saya tidak fikir ini menjadi satu masalah. Kalau ada kekosongan, kita isi. Sabah telah ada wakil tetapi bukan yang diusul oleh kerajaan negeri.

“Maka atas kuasa Menteri Kewangan, saya telah melantik Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak berkuatkuasa hari ini sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri,”katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini pada Jumaat.

Menurut Dato’ Seri Anwar, kekosongan untuk jawatan berkenaan diisi dengan kelayakan yang ada pada Dato Sri Dr. Wan Lizozman berdasarkan dua syarat yang ditetapkan iaitu profesionalisme dan pengalaman.

Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa tiada sebarang isu mengenai pelantikan hanya diberi kepada penjawat awam.

Jelasnya lanjut, pelantikan tersebut diyakini akan dapat membantu pihak LHDN.

“Setakat yang saya kaji, tidak ada permasalahan tersebut, tetapi yang ditekankan ialah dua syarat, kelayakan dari segi profesional dan pengalaman.

“Kedua-dua kriteria ini dipenuhi dan saya berpuas hati melihat kepada cadangan dikemukakan kerajaan Sarawak, cadangan itu sesuai dan integritinya itu tidak dipertikai,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof turut menegaskan bahawa pindaan undang-undang bagi pelantikan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dalam LHDN akan tetap dibentang di Parlimen untuk memenuhi kelulusan bagi pelantikan tersebut.

“Dalam akta LHDN adalah wakil kerajaan dan wakil daripada bukan kerajaan.

“Tetapi wakil kerajaan sudah dipenuhi, jadi apa yang akan dilakukan sekarang adalah akan diganti salah seorang itu dengan wakil dari Sarawak. Pindaan akan tetap dilakukan di Parlimen untuk memenuhi kelulusan,” tegas beliau.

Dalam sidang media sama, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas persetujuan bagi cadangan pelantikan tersebut.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor, dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu dalam MTPMA63, mereka turut disertai Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta dif-dif kehormat yang lain.-Edisi UKAS

Sumber dari : UKAS